VT Markets APP

    Trade CFDs on FX, Gold and more

    Get

    Gaya-Gaya Perdagangan: Yang Mana Satukah Untuk Anda?

    July 19, 2024

    Satu realiti sentiasa kekal di dalam dunia dagangan – tidak wujud satu cara yang universal untuk berdagang di dalam pasaran kewangan.

    Sama seperti cita rasa individu yang berbeza-beza dalam makanan, muzik dan telefon pintar, setiap pedagang juga mempunyai gaya yang tersendiri untuk mengaut keuntungan dari aktiviti dagangan.

    Secara amnya, gaya dagangan merujuk kepada metodologi yang membentuk kekerapan membuka posisi dan tempoh posisi itu dikekalkan. Objektif, pengalaman, toleransi risiko, teknik menganalisis pasaran, dan gaya hidup adalah faktor-faktor utama yang membentuk gaya perdagangan individu.

    Walaupun setiap orang memiliki gaya dan strategi yang tersendiri, secara kasarnya, gaya dagangan boleh dikategorikan kepada empat jenis, iaitu harian, scalping, swing, dan posisi:

    1. Dagangan Harian

    Jangka waktu perdagangan: Singkat

    Tempoh berdagang: Dalam hari yang sama

    Definisi perdagangan harian terletak pada namanya, iaitu perdagangan yang dibuka dan ditutup pada hari yang sama. Matlamat gaya ini adalah meraih keuntungan dari pergerakan jangka pendek.

    Rutin seseorang pedagang harian bermula awal pagi sebelum pasaran dibuka. Kebiasaannya, mereka memulakan aktiviti perdagangan dengan menganalisa pasaran, mengenal pasti potensi berdasarkan berita dan dan trend pasaran. 

    Salah satu sifat pedagang harian ialah kecenderungan mereka untuk mengaplikasikan indikator teknikal seperti Relative Strength Index, MACD dan Stochastic Oscillator untuk menyelidik keadaan pasaran dan membantu membuat keputusan perdagangan.

    Stochastic oscillator membantu pedagang harian meramal penghujung trend

    Kelebihan Perdagangan Harian

    • Gaya ini sesuai untuk pedagang yang menggemari kecairan pasaran yang tinggi kerana ianya mudah untuk membuka dan menutup posisi.
    • Menutup posisi secara harian dapat mengelakkan pedagang dari risiko kerugian semalaman oleh peristiwa pasaran yang tidak dijangka pada waktu malam.

    Kekurangan Perdagangan Harian

    • Perbezaan di antara trend dan pergerakan pasaran yang singkat boleh menjadi lebih mencabar oleh pergerakan naik turun harga yang rawak.
    • Pedagang harian cenderung untuk membuat keputusan impulsif kerana gaya ini boleh mempengaruhi keadaan mental dan emosi.

    2. Scalping

    Jangka waktu perdagangan: Lebih singkat dari perdagangan harian

    Tempoh berdagang: Beberapa saat atau minit

    Scalping ialah gaya perdagangan intensif dengan frekuensi yang tinggi dalam masa yang singkat. 

    Gaya ini memerlukan fokus yang tinggi. Fokus ini perlu digabungkan dengan kemahiran analisis teknikal yang mantap dan pemantauan pasaran secara konsisten.

    Pedagang yang mempraktikkan scalping dirujuk sebagai scalper. Kebiasaannya, scalper menjalankan di antara sepuluh sehingga beratus-ratus perdagangan dalam sehari. Satu perdagangan boleh berlangsung dari beberapa saat sehingga beberapa minit. 

    Matlamat utama di sebalik scalping ialah membuka posisi dan keluar dari pasaran sebaik saja pasaran bergerak ke arah yang dijangkakan. Jika dilakukan dengan betul, pedagang mampu meraih keuntungan kecil yang boleh diulangi beberapa kali dalam masa singkat.

    Disebabkan kepantasan perdagangan scalping ini, analisis biasanya dilakukan dengan carta jangka waktu yang pendek, seperti 1-minit dan 5-minit.

    Pastikan anda mengambil Timeframe 1-minit atau 5-minit jika anda melakukan gaya scalping

    Kelebihan Scalping

    • Scalping memerlukan modal perdagangan yang kecil jika dibandingkan dengan gaya-gaya perdagangan lain.
    • Analisis asas tidak banyak memainkan peranan dalam scalping. Sebaliknya, scalper lebih banyak bergantung kepada teknik analisis teknikal, seperti indikator, corak carta dan corak lilin.
    • Oleh kerana scalper memberikan tumpuan kepada pergerakan harga yang kecil pada masa yang singkat, mereka kurang terdedah kepada pergerakan pasaran yang berisiko.

    Kekurangan Scalping

    • Jika anda mempunyai pekerjaan sepenuh masa, scalping bukanlah untuk anda. Ini kerana scalping memerlukan anda memasuki dan keluar pasaran berulang-ulang kali. 
    • Scalper memerlukan leveraj untuk meningkatkan keuntungan. Tetapi, jika risiko tidak diuruskan dengan baik, anda boleh mengalami kerugian besar dalam masa yang singkat.
    • Scalper perlu membuat jumlah perdagangan yang tinggi untuk membiayai sebarang kos transaksi dengan broker.

    3. Dagangan Swing

    Jangka waktu perdagangan: Singkat ke sederhana

    Tempoh berdagang: Beberapa hari atau minggu

    Gaya ini mudah dibezakan dari perdagangan harian dan scalping kerana jangka waktunya yang mengambil masa beberapa hari dan minggu.

    Satu lagi perbezaan ketara adalah tabiat pedagang swing yang tidak meluangkan masa yang lama untuk memantau pasaran seperi pedagang harian/scalper.

    Walaupun begitu, satu persamaan di antara pedagang swing dan pedagang harian/scalper ialah kecenderungan mereka untuk mengambil bahagian dalam pasaran yang memiliki turun naik yang tinggi kerana peluang swing untuk terjadi adalah cerah.

    Objektif utama perdagangan swing adalah mengenal pasti trend dan mencari titik kemasukan yang dipamerkan sebagai swing high dan swing low.

    Fokus pedagang swing tertumpu kepada mengambil kesempatan di atas pergerakan harga di antara titik high dan low. Apabila trend meningkat, pedagang swing akan membuka posisi membeli dari titik low dan menutup posisi di titik high.

    Apabila trend menurun, yang sebaliknya akan berlaku. Pedagang tersebut akan menjual dari titik high dan menutup posisi di titik low.

    Kelebihan Perdagangan Swing

    • Pedagang boleh mengaut keuntungan dari trend pasaran yang menurun dan menaik dengan mengambil kesempatan ke atas swing dalam trend.
    • Gaya ini sesuai untuk pedagang separuh masa kerana pedagang tersebut tidak perlu memberi perhatian kepada pasaran sepanjang hari seperti perdagangan harian dan scalping.

    Kekurangan Perdagangan Swing

    • Tempoh perdagangan swing bergantung kepada tempoh hayat trend. Kadangkala, trend tersebut boleh bertahan selama 30 minit atau lebih dari sehari sebelum titik high dan low dapat dikenal pasti. Jika trend melangkau lebih dari sehari, pedagang akan terdedah kepada risiko peristiwa pasaran semalaman tidak dijangka yang boleh menyebabkan kerugian.
    • Pedagang swing mungkin akan mengalami cabaran untuk menyesuaikan strategi mereka terhadap perkembangan dan berita pasaran yang tidak dijangkakan.

    4. Dagangan Posisi

    Jangka waktu perdagangan: Paling lama

    Tempoh berdagang: Beberapa bulan atau tahun

    Gaya yang terakhir ini memerlukan pandangan dan tabiat yang berlawanan dari gaya pedagang harian/scalper. Ini sebab-sebabnya:

    1. Pedagang posisi memerlukan kesabaran yang tinggi dan kekuatan mental untuk mengabaikan pergerakan harga yang kecil demi mengejar keuntungan jangka panjang.

    2. Pedagang posisi akan mengekalkan posisi sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

    3. Kebiasannya, jumlah posisi yang dipegang tidaklah sebanyak yang dimiliki pedagang gaya lain, tetapi posisi yang dipegang dalam gaya ini mempunyai nilai tinggi.

    4. Pedagang posisi memerlukan modal yang terbesar di kalangan pedagang gaya-gaya lain.

    5. Gaya ini menekankan pemahaman asas yang mantap dan kemahiran memahami berita ekonomi dan peristiwa geopolitik untuk mencorak strategi jangka panjang.

    6. Stop loss yang digunakan adalah besar kerana potensi kerugian adalah signifikan.

    7. Perdagangan posisi tidak memerlukan perhatian harian yang konsisten seperti perdagangan harian/scalping

    Kelebihan Perdagangan Posisi

    • Oleh kerana pedagang lebih mementingkan trend jangka masa panjang, mereka mampu untuk membuat keputusan dalam keadaan emosi yang stabil tanpa dipengaruhi pergerakan pasaran harian yang kecil.
    • Pedagang posisi tidak perlu memantau pasaran secara konsisten.
    • Jika dilakukan dengan tepat pada jangka panjang, gaya ini boleh memberikan keuntungan sehingga ratusan atau ribuan pip.

    Kekurangan Perdagangan Posisi

    • Pedagang memerlukan pemahaman asas dan pendirian yang kukuh supaya tidak dipengaruhi oleh pendapat orang ramai mengenai keadaan pasaran.
    • Memerlukan modal yang besar.
    • Hasil pelaburan hanya boleh dilihat selepas jangka masa yang ditentukan, iaitu berbulan-bulan atau bertahun-tahun selepas membuka posisi.
    • Apabila potensi keuntungan boleh mencecah ribuan pip, begitu juga dengan risiko kerugian yang sama besarnya.
    • Memerlukan kesabaran yang tinggi.

    Apakah Faktor-Faktor Yang Akan Menentukan Gaya Dagangan Anda?

    1. Toleransi Risiko

    Fahami setiap risiko yang wujud dengan setiap gaya perdagangan. Perdagangan harian dan scalping melibatkan risiko yang tinggi kerana frekuensi perdagangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Perdagangan posisi memerlukan modal untuk mengelakkan panggilan margin jika pasaran merudum sehingan ratusan pip. Perdagangan swing pula mempunyai risiko terdedah kepada peristiwa pasaran yang tidak dijangka pada waktu malam.

    2. Komitmen Masa

    Lihat bagaimana anda boleh meluangkan masa untuk berdagang berdasarkan rutin anda. Anda mempunyai kerja tetap atau perlu berikan perhatian kepada anak-anak? Timbangkan perdagangan posisi atau swing. Jika anda mempunyai banyak masa lapang, atau anda ingin menceburi perdagangan secara sepenuh masa, anda boleh berdagang secara scalping atau harian.

    3. Modal

    Adakah anda memiliki modal yang diasingkan dari dana untuk menampung kehidupan seharian dan simpanan? Jika anda ingin berdagang posisi, anda perlu memiliki modal yang besar untuk menghadapi pergerakan pasaran yang menurun sambil mengekalkan posisi. Jika anda ingin berdagang harian atau scalping, modal anda harus mencukupi untuk menghadapi kerugian-kerugian kecil dan kos transaksi sebelum mengaut keuntungan.

    4. Pengetahuan Dan Pengalaman

    Pastikan ilmu mencukupi di dada sebelum mencuba mana-mana gaya! Ini adalah paling penting jika anda ingin berdagang harian atau scalping, kerana gaya ini memerlukan pemahaman teknikal dan peristiwa ekonomi untuk membuat keputusan pantas yang tepat setiap masa.

    5. Profil Psikologi

    Tabiat dan profil psikologi anda memainkan peranan penting dalam perdagangan. Jika anda hebat membuat keputusan dalam tekanan, perdagangan harian/scalping adalah sesuai untuk anda. Tetapi, jika anda lebih menggemari masa yang panjang untuk memikirkan pilihan-pilihan yang ada, anda boleh mencuba perdagangan swing atau posisi.

    6. Objektif Kewangan

    Anda ingin mengejar keuntungan jangka pendek atau waktu panjang? Faktor ini akan menjadi keutamaan untuk memilih gaya perdagangan yang sesuai dengan cita-cita kewangan anda.

    Mulakan perjalanan dagangan Forex anda dengan VT Markets Malaysia hari ini! Pelajari pelbagai gaya perdagangan dan tingkatkan strategi dagangan anda. Sertai kami sekarang!