VT Markets APP

    Trade CFDs on FX, Gold and more

    Get

    Mata Wang BRICS: Kesan Kepada USD, Forex Dan Geopolitik

    August 14, 2024

    Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai kumpulan kerjasama ekonomi BRICS.

    Terdapat beberapa faktor di sebalik keinginan Malaysia untuk menyertai BRICS, seperti kerjasama politik, pembangunan ekonomi dan sosial dengan negara-negara BRICS. 

    Selain itu, satu matlamat BRICS yang selari dengan cita-cita Malaysia adalah untuk berdiri di pentas global tanpa ditambat dolar Amerika (USD). Ini kerana BRICS telah menyatakan pendiriannya untuk membangunkan mata wang BRICS yang akan mengurangkan penggantungan dunia kepada USD di dalam ucapan Vladimir Putin pada tahun 2022.

    Walaupun mata wang BRICS ini masih berada di peringkat cadangan, ia adalah evolusi kewangan yang akan mengubah persekitaran ekonomi dan geopolitik dunia dengan sangat ketara.

    Sejarah Hegemoni USD

    Apabila kita ingin berbincang mengenai kekuasaan mutlak USD sebagai mata wang rizab utama dunia, kita tidak akan terlepas dari menyentuh topik Bretton Woods.

    Selepas berakhirnya perang dunia kedua, 44 negara dari Pihak Berikatan telah bermesyuarat di Bretton Woods untuk berbincang mengenai masalah pertukaran mata wang asing. 

    Mesyuarat tersebut telah menggariskan kata sepakat untuk mengiktiraf USD sebagai mata wang rizab prinsipal sedunia. Pada masa itu, nilai mata wang negara-negara Perikatan ditambat kepada USD, dan nilai USD pula disandarkan kepada emas. 

    Polisi ini berjaya mengembalikan kestabilan kepada ekonomi dunia, sehinggalah Presiden AS pada tahun 1971, Presiden Nixon, membatalkan sandaran USD kepada emas. Langkah ini menukarkan status USD kepada wang fiat, iaitu wang yang tidak bersandarkan logam berharga, aset atau komoditi.

    Beberapa tahun kemudian, AS telah meyakinkan Organisation of the Petroleum Exporting Countries (OPEC) untuk menggunakan USD sebagai mata wang utama dalam perdagangan minyak mentah.

    Strategi ini mewujudkan permintaan sintetik untuk USD. Negara yang ingin membeli minyak harus menjalankan transaksi dengan USD, dan sekaligus mengukuhkan kedudukan USD di pentas perdagangan antarabangsa.

    Keburukan Hegemoni USD Kepada Dunia

    1. Sekatan Unilateral Dan Tekanan Kewangan

      Dominasi USD membolehkan kerajaan AS mengenakan sekatan ekonomi kepada negara-negara lain yang dianggap menaja keganasan, melakukan kesalahan hak asasi manusia, atau mengancam kepentingan AS.

      Sekatan unilateral AS membawa impak negatif kepada negara-negara yang disasarkan, dan selalunya AS akan mengabaikan konsensus antarabangsa dalam isu sekatan ekonomi.

      2. Defisit Perdagangan Dan Ketidakseimbangan Ekonomi

        Status USD sebagai mata wang rizab membolehkan AS menjalankan defisit perdagangan yang ketara tanpa perlu memikirkan implikasi pasaran.

        Situasi ini mencipta keistimewaan yang unik kepada AS untuk lebih banyak mengimport dari mengeksport, sementara negara-negara lain terpaksa mengimbangi import dan eksport untuk mengekalkan integriti ekonomi mereka.

        3. Mudah Dipengaruhi Oleh Dasar Monetari AS

          Pengumuman Federal Reserve memberikan impak yang tersendiri untuk mengukuhkan atau meranapkan ekonomi dunia.

          Sebagai contoh, apabila Fed menaikkan kadar, ia boleh menyebabkan pengeluaran kapital dari negara membangun kerana pelabur mencari pulangan yang lebih selamat dalam aset AS. 

          Oleh itu, peranan Federal Reserve sebagai ‘gatekeeper’ kepada USD sebagai mata wang rizab dunia menjadi igauan kepada ekonomi-ekonomi kecil yang sedang bergelut dengan beban hutang dan inflasi.

          4. Kebergantungan Kepada USD

            Hubungan di antara AS dan negara-negara lain adalah seperti pasangan yang tidak secocok, tetapi satu pihak perlu bergantung kepada pasangannya untuk kelansungan hidup. 

            Negara-negara perlu menyimpan rizab USD yang besar untuk berdagang dan berlindung dari ketidakstabilan kewangan, yang boleh membawa kepada ketidakseimbangan dan kelemahan dalam ekonomi mereka.

            Kebergantungan ini boleh mengehadkan dasar ekonomi negara-negara lain, kerana mereka perlu mempertimbangkan implikasi keputusan dasar monetari AS.

            5. Kekurangan Pilihan Untuk Kepelbagaian Aset

              Disebabkan status USD yang dominan, ekonomi-ekonomi membangun mempunyai pilihan terhad untuk mempelbagaikan aset dalam rizab negara mereka. 

              Kelebihan-Kelebihan Mata Wang BRICS 

              Didorong oleh keburukan-keburukan kekuatan mutlak USD, negara-negara BRICS bersepakat membangunkan mata wang tersendiri yang mampu mencabar kedominan USD sebagai mata wang rizab sedunia. 

              Terdapat beberapa motivasi di sebalik usaha mencipta mata wang unik ini, yang diantaranya:

              1. Autonomi Kewangan

                Melalui mata wang yang seragam, negara-negara BRICS boleh menjalankan perdagangan sesama sendiri tanpa perlu menukarkan nilai kewangan kepada USD. Kos transaksi perdagangan boleh dikurangkan sambil meminimumkan pendedahan kepada ketaktentuan USD.

                2. Asas Kepada Stabiliti Ekonomi

                  Dengan menyandarkan mata wang BRICS kepada emas, pemimpin-pemimpin bloc ini percaya mereka boleh mencipta sumber kewangan alternatif yang lebih stabil berbanding USD. 

                  3. Menguatkan Mata Wang Tempatan

                    Mata wang BRICS mampu melonjakkan nilai mata wang negara-negara bloc ini apabila perdagangan sesama sendiri dijalankan tanpa menggunakan USD. 

                    4. Strategi Geopolitik

                      Inisiatif mata wang ini adalah strategi geopolitik untuk membebaskan negara-negara bloc ini dari cengkaman AS. Dengan membangunkan mata wang alternatif, negara-negara BRICS boleh merealisasikan kedaulatan ekonomi mereka dan mengurangkan impak sekatan dan polisi monetari AS ke atas ekonomi mereka.

                      Bagaimana Mata Wang BRICS Boleh Mempengaruhi Forex

                      1. Populariti USD Berkurangan

                        Jika mata wang BRICS berjaya membina reputasi di arena perdagangan antarabangsa, status USD sebagai pasangan mata wang forex utama boleh terancam.

                        Situasi ini boleh menjatuhkan permintaan USD dan nilainya. Oleh itu, strategi perdagangan yang tertumpu kepada USD boleh berubah dengan ketara.

                        2. Pasangan Mata Wang Baru

                          Selain EURUSD, GBPUSD, AUDUSD dan pasangan-pasangan yang sering didagangkan, bayangkan peluang untuk berdagang BRCUSD, BRCJPY atau EURBRC. Ini adalah satu kemungkinan jika mata wang BRICS menjadi realiti satu hari nanti.

                          Penyertaan mata wang BRICS dalam pasaran forex akan menambahkan kecairan pasaran dan menyediakan lebih banyak peluang trading.

                          3. Permintaan Meningkat Untuk Mata Wang Yang Bersandarkan Emas

                            Oleh kerana mata wang BRICS akan bersandarkan emas, pedagang juga harus memerhatikan pasaran XAUUSD. 

                            4. Impak Kepada Data Ekonomi

                              Perdagangan forex bergantung kepada data-data ekonomi seperti kadar faedah, inflasi, dan perkembangan ekonomi. Jika mata wang BRICS menjadi realiti, data ekonomi dari negara-negara bloc ini akan menjadi penting untuk pedagang.

                              Sebarang perubahan dalam ekonomi ahli negara BRICS boleh mempengaruhi mata wang BRICS dan mengubah persekitaran perdagangan.

                              Adakah Mata Wang BRICS Akan Menjadi Langkah Pertama Ke Dunia Pasca USD?

                              Negara-negara BRICS ingin membebaskan ekonomi mereka dari kawalan USD dengan membangungkan mata wang yang unik.

                              Dengan memperkasakan perdagangan sesama sendiri tanpa dipengaruhi USD dan dasar monetari AS, BRICS bercita-cita untuk mengukuhkan kedaulatan ekonomi negara-negara mereka sambil mencabar kedudukan AS sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia.

                              Walaupun begitu, inisiatif ini masih berada di peringkat idea dan teori.

                              Selagi dunia masih belum melihat mata wang BRICS menjadi realiti dan diangkat sebagai instrumen kewangan yang dipercayai, selagi itulah AS akan mengekalkan statusnya sebagai ekonomi terbesar dengan pasaran kapital yang menyeluruh.

                              USD pula akan kekal sebagai medium kewangan dan penyimpan nilai yang selamat, bukan saja untuk AS, malah untuk seluruh dunia.